Laporan Tamrin Kepimpinan Nuqaba` 2010

Posted by JPPIPGKPM on 9:41 AM

Tamrin Kepimpinan Nuqaba` merupakan salah satu program wajib yang terkandung di dalam takwim Jabatan Hal Ehwal Pelajar, IPG Kampus Perempuan Melayu yang perlu dilaksanakan. Oleh yang demikian, Biro Agama dan Dakwah Jawatankuasa Perwakilan Pelajar telah mengambil dipertanggungjawabkan untuk menjayakan program tersebut bagi tahun ini.

Pada 19 hingga 21 Februari 2010 yang lalu, Tamrin kepimpinan Nuqaba` ini telah berjaya dijalankan di Balai Islam Saidatina Aisyah (BISA), IPGKPM. Tamrin Kepimpinan Nuqaba` ini telah melibatkan seramai 65 orang termasuklah para peserta, urus setia dan juga fasilitator. Dengan bertemakan “Transformasi Kepimpinan Ummah” ini, tamrin kali ini juga melibatkan beberapa guru pelatih PPISMP ambilan Julai 2009 yang berpotensi untuk dipilih sebagai naqibah. Tamrin kali ini juga sebagaimana biasa mempunyai beberapa jawatankuasa di peringkat pengurusan bagi melancarkan perjalanan program yang berlangsung selama tiga hari dua malam ini. Jawatankuasa yang terlibat termasuklah JK Modul dan Pengisian, JK Makanan, JK Kebajikan dan Keselamatan, JK Peralatan dan Teknikal, JK Buku Program dan Sijil, JK Dokumentasi dan Seranta dan juga JK Disiplin dan Ibadah. Jawatankuasa yang terlibat ini menjalankan tugas masing-masing baik sebelum, semasa dan juga selepas program dijalankan.

Bagi hari pertama, pengarah program saudari Norhasmira binti Salleh memulakan program dengan memberikan sedikit taklimat kepada para peserta mengenai perjalanan program secara keseluruhan. Dalam sesi taklimat itu juga dilakukan pelantikan Kak Long sebagai ketua diikuti Kak Ngah, Along dan Achik. Pendekatan menggunakan nama panggilan keluarga dalam program dilihat sebagai salah satu usaha untuk menjadikan program lebih mesra keluarga di samping menginginkan suasana ukhwah yang menyeronokkan.

Bagi slot pertama telah diadakan “ice breaking” yang merupakan aktiviti wajib bagi mana-mana program seperti ini. “Ice breaking” ini dikendalikan oleh para fasilitator. Di dalam aktiviti ini, fasilitator memperkenalkan lagu tema tamrin iaitu “Stand Together” dan juga laungan semangat atau “trademark” iaitu “Transform great leaders”. Kedua-duanya djadikan sebagai semangat kepada para peserta untuk meneruskan program hingga ke akhirnya. Pengisian slot ini lebih menjurus kepada pembahagian kumpulan, gaya setiap kumpulan dan pelantikan ketua.

Pengisian kuliah Maghrib pada malam pertama telah diisi oleh Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Ustaz Zaimuddin bin Hussein dengan tajuk “Pengurusan Usrah Berkesan”. Beliau banyak memberikan kepentingan usrah yang berkesan dan bagaimana untuk mengendalikan usrah dengan baik. Tamrin kepimpinan Nuqaba` tersebut kemudiannya diteruskan dengan Kuliah Dasar 1 yang telah disampaikan oleh Tuan Haji Omar bin Abdul. Sememangnya input yang diberi cukup berguna bagi naqibah yang juga bertindak sebagai pemimpin. Dengan membawa tajuk “Bagaimana Membangun Potensi Pemimpin”, penceramah mampu memberikan panduan yang bermanfaat kepada para peserta dalam berdiri sebagai seorang pemimpin Islam yang berjaya.

Bagi hari kedua pula, seperti biasa selesai solat Subuh, para peserta memulakan pagi Sabtu dengan bacaan Al-Mathurat. Kemudiannya, mereka bersedia untuk aktiviti riadah yang dikendalikan sendiri oleh pengarah program.. Antara aktiviti yang dilakukan termasuklah senamrobik, permainan kecil belalang belatuk dan sebagainya. Peserta dilihat dapat mengikuti aktiviti yang diarahkan dengan baik. Sesi seterusnya diteruskan dengan mendengar Kuliah Dasar 2 yang dikendalikan oleh En. Mohd Khairul bin Ismail dari Jabatan Ilmu Pendidikan. Tajuk kuliah beliau ialah “Asas Penyelesaian Masalah dan juga Membuat Keputusan dalam Organisasi”. Penceramah dilihat mampu membawa peserta untuk lebih bijak berfikir dalam berhadapan dengan masalah yang mendatang dan juga bagaimana untuk memikirkan strategi yang boleh diaplikasikan dalam menjadi seorang naqibah.

Seterusnya Tamrin Kepimpinan Nuqaba` diteruskan dengan dengan Kuliah Dasar 3 pada pukul dua petang yang telah diberikan oleh Tn. Hj Azman bin Aziz, ketua Unit Latihan Dalam Perkhidmatan. Beliau hadir dengan isu yang begitu menarik iaitu “Mahasiswa IPG Kampus Perempuan Melayu Mendepani Isu Semasa” Mendengar kepada tajuk sahaja sudah memberikan gambaran tentang pengisian kuliah tersebut. Beliau cukup bersemangat dalam memberikan kuliah tersebut yang banyak menyentuh tentang isu semasa. Pendedahan tersebut dilihat membuka pemikiran peserta tentang isu semasa yang sedang mereka hadapi. Para peserta begitu khusyuk mendengar kuliah tersebut dan banyak mengutarakan pandangan dan masalah yang berlaku.

Bagi sesi petang iaitu riadah, fasiliatator telah memberikan tugasan kepada setiap kumpulan untuk membuat orang surat khabar. Di dalam kumpulan tersebut terdiri daripada orang bisu, orang buta dan juga orang yang lumpuh. Aktiviti ini dilihat mampu mencetuskan kreativiti dalam kalangan peserta dan juga strategi membuat orang surat khabar dengan bantuan orang-orang yang kurang sempurna. Pada malamnya, pengisian terakhir telah diberikan oleh Ustaz Ridzuan Rasip yang memberikan kuliah maghrib yang bertajuk “Menyingkap Kegemilangan Kepimpinan Terdahulu”. Beliau banyak mengimbau kembali sejarah kepimpinan Rasulullah SAW. Slot terakhir yang begitu bermakna adalah sesi muhasabah yang bermula pada pukul tiga pagi. Pengisian yang dikendalikan oleh fasilitator ini walaupun tidak melibatkan pergerakan, namun dengan kata-kata motivasi dari fasilitator sudah cukup membuatkan para peserta tidak menahan diri dari mengalirkan air mata. Di sini, para peserta berpeluang untuk melakukan korekasi diri seterusnya selepas bersalaman dengan fasilitator dan urus setia, para peserta diberikan masa untuk melakukan solat sunat taubat. Hari terakhir tamrin kali ini diakhiri dengan sesi resolusi. Di dalam slot ini yang dipengerusikan oleh pengarah program, para peserta diberi peluang untuk membuat refleksi dan juga cadangan penambahbaikan. Rata-rata peserta berpuas hati dengan tamrin yang diadakan bagi tahun ini.

Sebagai akhirnya, bolehlah dikatakan bahawa tamrin kali ini mampu menyuntik semangat ke dalam diri para peserta dalam mempersiapkan diri mereka dengan mengutip sebanyak ilmu yang boleh untuk mengendalikan usrah. Semoga segala usaha yang telah dilakukan oleh semua pihak yang terlibat terhadap program ini akan diberkati dan diredhai Allah SWT.