2 pelajar mengaku bersalah tanam bayi

Posted by JPPIPGKPM on 9:22 AM


MUHAMAD SAFIUDDIN mengaku bersalah mengebumikan mayat bayi lelaki yang baru dilahirkan di Taman Melaka Baru, Batu Berendam pada 12 Mei lalu.

MELAKA: Dua pelajar belasan tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tuduhan mengebumikan mayat seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan, di tebing sungai berhampiran Taman Melaka Baru, Batu Berendam, dekat sini, pada Rabu lalu.

Muhamad Safiuddin Mohd Zahari, 19, dari Taman Melaka Baru dan remaja perempuan berusia 15 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di tebing Sungai Malim, antara jam 12 hingga 12.30 tengah hari 12 Mei lalu.
Mereka membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhamad Faizal Ismail pada prosiding jam 3 petang itu.
Ketika pertuduhan dibacakan, Muhamad Safiuddin yang memakai baju berkolar merah kelihatan tenang, manakala remaja wanita yang memakai baju hijau sambil menutup kepala dengan tuala kecil berwarna biru, menggigil.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan, dibaca bersama-sama mengikut Seksyen 34 yang membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun atau denda atau kedua-duanya. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mahmoodah Abdul Latiff, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Muhamad Faizal mengenakan jaminan RM2,000 kepada kedua-dua tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Jun ini bagi menunggu laporan akhlak dan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Terdahulu, Mahmoodah menawarkan jaminan RM10,000 seorang dan penjamin bagi setiap tertuduh. Muhamad Safiuddin bagaimanapun meminta jaminan dikurangkan dengan alasan masih belajar dan meminta diberi peluang terakhir untuk mengubah diri. Remaja perempuan itu mengemukakan permohonan serupa dengan alasan masih belajar dan kini dibesarkan oleh ibu tunggal.

Akhbar semalam melaporkan mereka ditahan selepas ibu pelajar perempuan terbabit membuat aduan mengenai anaknya yang bersalin tanpa pengetahuan beliau pada awal pagi Rabu lalu. Bedah siasat mendapati bayi itu hidup dan cukup sifat ketika dilahirkan selain beberapa kesan lebam pada kepala.