Harapan pelajar OKU ikuti kursus perguruan cerah

Posted by JPPIPGKPM on 8:28 AM

KOTA BHARU: Harapan pelajar orang kurang upaya (OKU) dari Georgetown, Pulau Pinang untuk menjadi guru kembali cerah selepas Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi memberi jaminan akan melihat permohonannya sekali lagi.

Kementerian akan mengarahkan Pengarah Bahagian Pendidikan Guru memberi peluang kepada pelajar pekak, Muhammad Affan Ghazali, 20, untuk ditemu duga bagi mengikuti Kursus Pendidikan Khas Masalah Pendengaran Pendidikan Rendah.

Mohd Puad berkata, walaupun keperluan untuk menjadi guru ialah memperoleh 3A dan 3B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun pelajar berkenaan harus diberi peluang kerana beliau memohon menjadi guru pendidikan khas. Katanya, pelajar berkenaan harus diberi peluang untuk ditemu duga, bukannya bertindak dengan terus menolak permohonannya dan sekiranya beliau didapati layak untuk diterima mengikuti kursus terbabit, pihak berkenaan harus memberi pertimbangan terhadapnya.

"Saya sudah baca isu berkaitan dengan nasib pelajar itu, namun tidak sempat hendak mengarahkan pengarah Bahagian Pendidikan Guru supaya dipertimbangkan semula permohonan pelajar malang berkenaan," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemumin, Pengkalan Chepa, dekat sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas laporan akhbar mengenai pelajar pekak kesal tidak dapat menjadi guru.

Pelajar itu, Muhammad Affan, yang cemerlang dalam SPM 2009, yang bercita-cita hendak menjadi guru tidak kesampaian apabila permohonannya untuk mengikuti Kursus Pendidikan Khas Masalah Pendengaran Pendidikan Rendah, ditolak.
Beliau yang memperoleh 2A dan 3B bercita-cita menjadi guru bagi membantu insan senasib kecewa apabila permohonannya tidak mendapat perhatian, malah tidak dipanggil untuk temu duga.

Mohd Puad berkata, beliau yakin isu pelajar berkenaan dapat diselesaikan dengan baik kerana kementerian kini sedang seimbangkan pengambilan guru.

"Dalam kes ini, saya dapati pelajar berkenaan sudah mempunyai kelayakan yang diperlukan bagi mengikuti kursus yang dipohon. Saya akan pastikan pelajar ini akan dipanggil untuk temu duga nanti untuk melihat keupayaannya menjadi guru nanti, saya akan usahakan," katanya.