SALAM KEMERDEKAAN KE-53

Posted by JPPIPGKPM on 6:53 PM

Salam kemerdekaan ke-53 buat semua warga IPG Kampus Perempuan Melayu, Melaka. Pihak JPP IPG Kampus PM juga mengucapkan SALAM KEMERDEKAAN ke-53 kepada seluruh rakyat Malaysia dengan iringan doa semoga kita akan mengecapi hari-hari mendatang dengan kesejahteraan, perpaduan, dan kemakmuran yang sebenarnya. Sesungguhnya tema yang dipilih untuk tahun ini menuntut supaya setiap seorang warga negara membuat satu anjakan paradigma dalam merealisasikan setiap matlamat yang dirancang. Tahniah kepada semua guru pelatih PPISMP semester 1 dan 3 kerana terpilih dalam memberi sumbangan untuk menjayakan sambutan kemerdekaan kali ke-53 di Putrajaya.

Hari kemerdekaan bagi negara yang berdaulat dan bebas daripada belenggu penjajahan asing sememangnya menjadi kemegahan dan simbol kepada kedaulatan negara bangsa tersebut. Bagi kita, kemerdekaan bukan sekadar kejayaan menurunkan bendera Union Jack, anak watan memimpin dan menentukan haluan negara, demikian juga pentadbiran dikuasai oleh anak watan sendiri, tetapi kemerdekaan mempunyai makna dan falsafah yang lebih besar dari itu.

Sebagai warga pendidik yang merupakan kelompok penting dalam pembangunan negara seharusnya kita mengambil intipati sebenar dalam menghayati kemerdekaan yang disambut saban tahun. Dalam situasi pendidikan sekarang, kemerdekaan sebenar sebagai pendidik ialah memerdekaan pemikiran pelajar-pelajar di sekolah dan kenal identiti sebenar mereka sebagai modal insan yang cemerlang. Bukan hanya menjadi generasi ikutan budaya Barat yang dahulunya nenek moyang kita berjuang untuk mengusir mereka. Malahan, kebencian terhadap penjajah yang menjajah negara amat tinggi. Tetapi kini, pelajar-pelajar di sekolah makin dijajah oleh kebencian nenek moyang kita dahulu.

Justeru itu, marilah kita sama-sama membuat satu transformasi baru dalam memerdekaan anak bangsa kita. Marilah kita memperbaharui tekad dan keazaman untuk terus berjuang, dan mudah-mudahan dapatlah kita menggunakan masa ketika berada dalam profesion yang cukup murni ini dengan sebaik mungkin.



" 1 Malaysia Menjana Transformasi"